Bidang aeroangkasa jadi tumpuan
KLUANG 9 April - Unit Pengakap Udara Sekolah Menengah Tinggi Kluang
(STK) akan melaksanakan beberapa aktiviti berkaitan penerbangan untuk
dimanfaatkan oleh 80 ahlinya.
Pemimpinnya, Megat Mohd. Nizar Abdul Rahman, 42, berkata,
langkah itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai
remaja yang berminat dalam bidang aeroangkasa.
Beliau berkata, sejak ditubuhkan Februari tahun lalu, pihaknya telah
mengadakan aktiviti sulung iaitu melawat Pasukan Udara Tentera Darat
(PUTD) yang berpangkalan di Kem Mahkota Kluang.
"Lawatan itu diadakan Jun tahun lalu bagi membolehkan pelajar
mendapatkan pengetahuan asas mengenai helikopter dan melihatnya secara
lebih dekat," katanya di sini baru-baru ini.
Selain itu beliau juga berhasrat mengadakan kelas Semboyan Udara
kepada anggota pengakap udaranya selama tiga hari dengan kerjasama PUTD
tidak lama lagi.
Mohd. Nizar berkata, sebagai skuadron sulung, beliau mahu Unit
Pengakap Udara STK sentiasa aktif dalam pelbagai aktiviti penerbangan
dan udara agar menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain.
"Sayap Kehormat yang diterima ini meningkatkan lagi azam saya untuk
terus bergerak maju dalam bidang aeroangkasa bagi dimanfaatkan oleh
pelajar-pelajar," katanya.
Sementara itu, Pemimpin Unit Pengakap Udara Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mersing, Mohd. Sahril Suid, 28, pula berhasrat mengadakan kerjasama dengan pihak Kem Iskandar dalam melaksanakan beberapa aktiviti untuk pelajarnya.
Menurutnya, sekolah tersebut mempunyai 90 ahli yang berusia 13 dan 14 tahun yang amat berminat dalam bidang aeroangkasa.
"Jika diluluskan, kami ingin mengadakan aktiviti terjun udara dan dunia penerbangan kepada pelajar-pelajar terbabit," katanya.
Ekoran itu, beliau berharap pentadbiran Kem Iskandar akan dapat
memberikan kerjasama tersebut bagi meningkatkan lagi semangat dan minat
pelajar-pelajar berkenaan dalam dunia ketenteraan dan penerbangan.
"Ketika ini seramai 15 pelajar MRSM Mersing telah lulus ujian dan menerima Lencana Udara Kelas Pertama," katanya.
|